“Rahsia Menyulap Kuih Sagu Kelapa: Tips Menghilangkan Kesan Putih!”


kuih sagu kelapa

Kuih sagu kelapa ini mempunyai rasa manis yang lembut dari sagu dan sedikit kenyal apabila dikunyah. Selain itu, ditambah dengan kelapa parut yang kaya dan sedikit masin, menjadikan rasanya semakin wow.

Pastikan untuk menambah daun pandan kerana ia memberikan aroma yang lebih memikat dan sedap, sekaligus membawa kembali nostalgia zaman kanak-kanak dengan rasa klasiknya.

Untuk menghilangkan kesan putih yang kadang-kadang tertinggal pada sagu selepas dimasak, anda perlu mengukus sagu tersebut terlebih dahulu. Di samping itu, untuk rasa yang lebih kuat, anda boleh menambah sedikit gula melaka jika ingin versi yang lebih manis!

Jom lihat resipi lengkap di bawah ini.

Baca lagi: Pasta Goreng Tom Yam, Setiap Suapan Pasti Nak Makan Lagi!

RESIPI KUIH SAGU KELAPA

Bahan-bahan:

  • 1 cawan biji sagu
  • 1 cawan gula pasir
  • Sedikit warna (merah atau hijau, ikut pilihan)
  • 1 helai daun pandan, simpul
  • Kelapa parut secukupnya (gunakan bahagian putih sahaja)
  • Sedikit garam
  • Air secukupnya

Cara-cara Membuat:

1. Bilas biji sagu dengan air bersih, kemudian rendam selama 15 minit supaya sagu mengembang dan cepat masak. Setelah kembang, toskan.

2. Dalam periuk, masukkan sagu yang telah direndam, air secukupnya (hanya untuk merendam sagu), gula, daun pandan, dan warna pilihan. Rebus dan kacau sentiasa sehingga sagu menjadi jernih dan pekat. Pastikan untuk kacau berterusan agar sagu tidak melekat di dasar periuk.

3. Masak sagu sehingga muncul buih-buih kecil seperti “gunung berapi.” Apabila semua sagu kelihatan jernih, angkat dan masukkan ke dalam loyang.

4. Setelah sagu dipindahkan, kukus selama lebih kurang 10-15 minit hingga sagu kelihatan sepenuhnya jernih. Proses pengukusan ini memastikan tekstur sagu lebih cantik dan matang sempurna.

5. Campurkan kelapa parut dengan sedikit garam untuk menghasilkan rasa lemak. Kukus sebentar agar kelapa tahan lebih lama dan tidak mudah basi.

6. Biarkan sagu sejuk sepenuhnya sebelum memotong. Setelah sejuk, potong mengikut saiz yang diingini dan golekkan potongan sagu dalam kelapa parut hingga disalut rata.

Kuih sagu kelapa anda pun sedia dihidang! Sempurna dinikmati bersama teh panas sebagai kudapan petang. Kuih ini mudah disediakan, sedap dinikmati, dan sangat berbaloi.

Selamat mencuba!

Sumber: Nonie Baharin

Baca lagi: Resepi Kuih Keria Gebu, Setiap Gigitan Bawa Rasa Yang Sangat Puas!



Source link

Scroll to Top