Teramat banyak sajian sampingan yang mudah disediakan di rumah. Sama seperti resipi Minyak Bawang Putih ini yang boleh bertahan sehingga 3 minggu.
Minyak Bawang Putih merupakan salah satu bahan masakan yang memiliki rasa unik dan sering kali dijadikan sebagai pelengkap untuk meningkatkan perisa dan bau.
Ia bukan hanya digunakan untuk memasak, tetapi Minyak Bawang Putih juga mempunyai pelbagai khasiat dan kegunaan dalam merawat pelbagai isu kesihatan.
Mencari di luar mungkin sukar, jadi anda boleh menciptanya sendiri di rumah dengan resipi Minyak Bawang Putih yang dikongsikan oleh Zurina Zulkefli di Facebook ini. Mari kita cuba!
Baca juga: Petua Membersihkan Minyak Tumpah Di Karpet, Hanya Perlukan Satu Bahan!
RESEPI MINYAK BAWANG PUTIH
Bahan-bahan:
- 2 ulas bawang putih
- Rempah empat serangkai
- Minyak masak
- Sedikit halia (dihiris)
- Garam halus
Cara penyediaan:
1. Pertama, bersihkan bawang putih dan belah dua untuk memudahkan proses pengisaran nanti.
2. Kemudian, kisar bawang putih sehingga halus (saya menggunakan blender tarik, cepat dan hasilnya sangat cantik sekata).
3. Seterusnya, panaskan minyak masak dalam kuali dengan menggunakan api sederhana tinggi.
4. Tambahkan rempah empat serangkai, sedikit hirisan halia dan bawang putih yang telah dikisar tadi, tetapi pastikan untuk terus mengacau agar bawang tidak mudah terbakar.
5. Kacau sehingga bawang berubah warna menjadi keperangan.
6. Matikan api dan masukkan secubit garam halus untuk memberikan sedikit rasa. Kini sedia untuk digunakan!
Resipi Minyak Bawang Putih ini begitu mudah buat di rumah dan anda boleh menikmatinya dengan hidangan mi sup atau digunakan sebagai tambahan pada masakan sayuran seperti sawi masak sos tiram.
Jika merasa tidak sedap badan dan mengalami demam, anda boleh mencuba membuat bubur dengan menambah Minyak Bawang Putih dan sedikit lobak merah bagi menambah kelazatannya.
Yang paling menarik, anda boleh menyimpan Minyak Bawang Putih dalam bekas selama tiga minggu pada suhu bilik. Jadi, tidak perlu simpan dalam peti sejuk pun tidak mengapa.
Selamat mencuba!
Sumber: Zurina Zulkefli
Baca juga: Cara Membuat Minyak Bijan Homemade, Lebih Jimat Dengan 2 Bahan Sahaja!