Jika anda sudah merasa jemu dengan nasi putih, mengapa tidak ibu-ibu mencuba variasi baru dengan resipi nasi arab mandy yang enak dan mudah ini.
Resipi yang dikongsi oleh Puan Aisyah Humaira ini adalah bukan sahaja ringkas, namun hasilnya juga sangat menggugah selera. Bagi yang belum pernah mencuba, mari lakukan di rumah!
Baca juga: Kaedah Memasak Nasi Daging Utara yang Hebat, Nasi Gebu & Daging Lembut!
RESEPI NASI ARAB MANDY MUDAH DAN ENAK
Bahan-bahan untuk nasi:
- ½ kilogram beras basmati dibersihkan dan direndam selama setengah jam lalu ditoskan.
- Minyak masak secukupnya untuk menumis.
- 3 biji bawang merah, tidak perlu dihiris.
- 5 ulas bawang putih, tidak perlu dihiris.
- 1 sudu kecil biji lada hitam.
- 1 batang kayu manis.
- 2 biji bunga lawang.
- 3 biji cengkih.
- 4 biji buah pelaga.
- 2 sudu besar rempah nasi arab.
Bahan kisar untuk nasi:
- 4 ulas bawang putih.
- 1 biji tomato.
- 4 sudu besar sos cili.
Cara-cara memasak nasi:
- Panaskan minyak. Tumis semua bahan di atas kecuali bahan kisar. Setelah bawang menjadi layu, masukkan bahan kisar dan tumis lagi sehingga pecah minyak.
- Masukkan beras dan air rebusan ayam, perasakan dengan sedikit garam dan gula. Sukat air dan masak nasi seperti biasa.
- Apabila nasi separuh masak, boleh letakkan 2-3 batang cili hijau di atasnya dan beberapa keping daging/ayam yang telah masak.
Bahan untuk ayam dan kuah sup:
- 1 ekor ayam yang dipotong 4.
- 4 biji bawang putih, tidak perlu dihiris.
- 1 biji bawang besar dipotong 4.
- 4 kepingan hirisan halia.
- 5 biji lada hitam.
- 2 biji kiub pati ayam.
- Sedikit garam dan gula.
- Sedikit pewarna saffron untuk mencantikkan warna nasi.
- Air secukupnya (pastikan air lebih kerana air rebusan ini akan digunakan juga untuk memasak nasi).
Cara membuat ayam dan kuah sup:
- Masukkan semua bahan di atas ke dalam periuk. Rebus sehingga ayam masak.
Bahan kisar untuk pes ayam panggang:
- 3 ulas bawang putih.
- 1 biji tomato.
- 1 sudu besar sos cili.
- 2 sudu besar rempah nasi arab.
- 6 sudu besar minyak masak.
- Garam dan gula secukup rasa.
Cara membuat pes ayam panggang:
- Kisar semua bahan ini dan lumurkan pada ayam yang telah direbus tadi. Kemudian panggang/goreng hingga keperangan dan sedia untuk dihidangkan.
Bahan-bahan untuk salad arab:
- 3 tangkai daun ketumbar, dihiris.
- 2 biji bawang merah, dipotong dadu.
- 1 biji tomato, dihiris dadu.
- ½ batang timun Jepun, dihiris dadu.
- 1 bekas kecil yogurt plain.
- ½ sudu kecil serbuk lada hitam dan sedikit garam.
Cara membuat salad arab:
- Gabungkan semua bahan di atas dalam satu bekas dan gaul rata.
Bahan-bahan untuk sos harrah:
- 2 tangkai daun ketumbar.
- 10 biji cili padi merah.
- 2 ulas bawang putih.
- 1 biji tomato.
- 4 keping hirisan halia.
- Sedikit air rebusan ayam.
- Sedikit perahan lemon dan garam, gula secukup rasa.
Cara membuat sos harrah:
- Kisar semua bahan di atas hingga halus.
Sumber: Aisyah Humaira
Baca juga: Resipi Nasi Ayam Madu yang Enak Melekat di Jari, Sedap Hingga 2 Hari Masak Menu Yang Sama