Ketika tiba saat minum petang, pasti ingin menikmati sesuatu yang manis, lembut dan mudah disiapkan. Oleh itu, kami sarankan anda mencuba Apam Susu Kukus yang berwarna-warni ini.
Apam Susu Kukus merupakan sejenis kuih tradisional yang dikukus, memiliki tekstur lembut dan gebu dengan rasa yang manis serta aroma harum yang berbeza dari apam biasa.
Perkongsian Apam Susu Kukus oleh Siti Sarah Mohd Sapuan di Facebook ini menarik perhatian kerana hasilnya yang comel, berwarna-warni, dan kelihatan sangat lembut. Jom kita cuba!
Baca juga: Wanita Berkongsi Resipi Apam Nasi Tradisional Dari Ibu, Lembut & Gebu Hasilnya!
RESIPI APAM SUSU KUKUS
Bahan-bahan:
- 4 biji telur ayam (suhu bilik)
- 1 sudu besar ovalette
- 4 sudu besar susu pekat manis
- 3 sudu besar susu cair
- 1 sudu teh esen vanilla
- 1 cawan gula
- 2 cawan tepung gandum (diayak)
- Pewarna makanan (mengikut pilihan dan kreativiti)
Cara-cara membuat:
1. Masukkan telur, ovalette, susu pekat, susu cair, esen vanilla dan gula ke dalam blender.
2. Kisar semua bahan selama beberapa minit sehingga adunan menjadi ringan dan warna berubah menjadi putih kekuningan (tanda ia sudah cukup gebu).
3. Selepas kisar, tuangkan adunan ke dalam bekas yang lebih besar.
4. Ayak tepung gandum terlebih dahulu untuk mengelakkan berketul, kemudian masukkan ke dalam adunan. Gaul rata sehingga sebati. Kacau menggunakan garfu juga boleh.
5. Bahagikan adunan ke dalam beberapa bekas kecil jika ingin menggunakan lebih dari satu warna. Masukkan pewarna pilihan, tidak kisah jika dua, tiga, atau lebih warna.
6. Sapukan sedikit minyak pada acuan supaya apam tidak melekat. Tuangkan adunan ke dalam acuan dan kukus selama 10 hingga 15 minit (bergantung kepada saiz acuan dan jenis kukusan).
7. Gunakan api sederhana dan tutup kukusan dengan penutup yang dibalut kain supaya wap air tidak menitis ke atas apam.
Selamat mencuba!
Sumber: Siti Sarah Mohd Sapuan
Baca juga: Resepi Apam Susu Gebu Gebas, Kukus Saja Pasti Naik Cantik Kejadiannya!