Antara pelbagai jenis rendang yang terdapat di Malaysia, tentunya ramai yang menggemari resepi Rendang Daging Tok yang amat istimewa dan unik dari negeri Perak.
Resepi Rendang Daging Tok bukan hanya penuh dengan rempah ratus, tetapi juga memiliki rasa tradisional yang sukar dijumpai sekarang. Senang kata, ia merupakan hidangan legenda yang popular sejak zaman dahulu.
Pada masa lalu, masyarakat memasak Rendang Daging Tok untuk majlis kenduri, Hari Raya dan acara-acara penting. Kini, anda boleh mencubanya sendiri di rumah dengan resepi dari Sheila ZA di Facebook ini.
Baca juga: Kaedah Mempercepatkan Lembutkan Daging & Jimat Gas, Hanya Guna Periuk Nasi!
RESEPI RENDANG DAGING TOK
Bahan-bahan:
- Daging lembu (sebaik-baiknya dengan sedikit bahagian lemak)
- 3 biji bawang besar
- Santan
- Kerisik
- Gula merah
- Daun kunyit
- Kicap pekat
- Garam dan gula
Bahan untuk disangai dan dikisar:
- Bawang merah
- Bawang putih
- Halia
- Lengkuas
- Serai
- Kunyit hidup
- Cili kering
- Jintan putih dan jintan manis
- Biji ketumbar
- Bunga lawang
- Kulit kayu manis (ketuk dengan lesung batu)
Cara-cara memasak:
1. Pertama sekali, siapkan semua bahan untuk dikisar, kemudian masukkan ke dalam kuali untuk disangai atau digoreng tanpa minyak. Jaga agar tidak hangus, goreng sehingga naik bau sahaja.
2. Setelah aroma menyebar, tutup api dan biarkan sejuk seketika.
3. Setelah sejuk, masukkan semua bahan tersebut ke dalam pengisar dengan sedikit minyak dan air. Tujuan minyak ditambah adalah untuk memudahkan pengisaran bahan keras seperti kulit kayu manis dan bunga lawang. Kisarkan hingga halus.
4. Panaskan kuali, tuang sedikit minyak, kemudian masukkan bahan kisar tersebut dan kacau.
5. Tumis bahan tersebut tetapi jangan sampai pecah minyak, kemudian masukkan daging dan santan cair (jika tiada santan cair, air pun boleh).
6. Tambahkan bawang besar (untuk memastikan bawang karamelisasi dan menambah keenakan rendang), kacau rata dan biarkan mereneh.
7. Setelah mereneh selama lebih kurang 1 jam atau sehingga daging sedikit lembut, masukkan santan, kerisik, gula merah, garam dan gula. Jangan terlalu banyak, cukup rasa sahaja. Kacau sehingga sebati.
8. Apabila hampir kering, tambahkan sedikit kicap pekat. Jika tidak mahu meletak pun tidak mengapa, tujuannya untuk menggelapkan sedikit rendang tersebut.
9. Seterusnya, teruskan mereneh sehingga daging empuk atau sampai kering. Setelah kering, rasa dan jika perlu, tambahkan garam dan gula.
10. Akhir sekali, masukkan daun kunyit, bawang goreng, dan daun limau purut jika mahu. Siap untuk dihidangkan!
Kebetulan Hari Raya Aidiladha akan menjelang, jadi bolehlah mencuba resepi Rendang Daging Tok ini nanti. Ia bukan sahaja sekadar lauk, tetapi merupakan hidangan yang sarat dengan kenangan.
Selamat mencuba!
Sumber: Sheila ZA
Baca juga: Resepi Rendang Tok Perak Asli, Sedap Sampai Mak Mentua Puji Melambung!