Apabila anda sedang mencari kaedah untuk menghasilkan seri muka yang enak dan berbeza, resipi seri muka jagung ini sememangnya patut dicuba!
Kuih klasik ini terkenal dengan kombinasi lapisan pulut yang kaya dan lembut di bawah, serta lapisan atas yang manis dan kenyal.
Dalam resipi ini, lapisan atas dibuat daripada jagung manis yang berkrim dan lembut. Warna kuningnya juga menjadikannya lebih menarik.
Jika ada sesiapa yang berminat untuk mencuba, mari lihat bahan-bahan dan langkah demi langkah cara penyediaannya seperti di bawah.
Baca juga: Resipi Apam Tokyo Yang Lembut, Gebu & Manis, Sedap Seperti Dibeli Dari Pasar Malam!
CARA BUAT SERI MUKA JAGUNG
Bahan-bahan untuk lapisan bawah:
- 2 cawan beras pulut (dibasuh dan direndam dalam air selama 2 jam)
- 2 cawan santan yang agak pekat
- 2 sudu teh garam halus
- 1 sudu besar minyak masak
Bahan-bahan untuk lapisan atas:
- 1 tin jagung manis krim
- 1/2 cawan tepung beras
- 1/2 cawan tepung gandum
- 3 sudu besar tepung kastad
- 3/4 cawan gula pasir
- 1 biji telur gred B
- 2 cawan santan yang agak pekat
- Beberapa titik pewarna kuning (jika mahu)
Cara-cara untuk membuat lapisan bawah:
- Gabungkan santan dengan garam dan minyak, kacau hingga garam larut sepenuhnya.
- Buang air pulut dan letakkan ke dalam loyang bersaiz 9 ½ inci yang telah dilapisi dengan plastik.
- Tuangkan campuran santan tadi di atas pulut dan ratakan hingga sekata.
- Panaskan pengukus hingga mendidih, kemudian kukus pulut selama 30 minit dengan api sederhana.
Cara untuk membuat lapisan atas:
- Dalam satu bekas, gabungkan tepung beras, tepung gandum, tepung kastad, gula, telur, santan, dan pewarna kuning. Kacau hingga sebati dan pastikan gula larut.
- Tapiskan adunan ke dalam periuk. Masukkan jagung krim (pastikan bukan jagung kernel ya!).
- Kacau di atas api sederhana hingga adunan mengeluarkan wap (jangan biarkan terlalu pekat).
- Setelah pulut dikukus, ratakan dan tekan pulut supaya lebih padat (jika mahu, boleh gemburkan dahulu sebelum menekan).
- Tuangkan adunan jagung ke atas pulut, ratakan perlahan-lahan.
- Kukus semula selama 30 minit. Balut penutup pengukus dengan kain bersih untuk mengelakkan wap air menitis ke atas permukaan serimuka.
- Biarkan serimuka sejuk dalam peti ais selama 3-4 jam sebelum memotong.
- Gunakan pisau plastik yang disapukan sedikit minyak untuk mendapatkan potongan yang cantik.
- Boleh dinikmati suam atau sejuk terus dari peti ais. Memang lazat!
Sumber: Nor Al Fatihah Tihah
Baca juga: Rahsia Kuih Bom Bijan Yang Bulat Menarik, Ternyata Ada Tip Agar Tidak Pecah Ketika Menggoreng