Setiap hari setelah memasak nasi berlauk, kadang-kala tentu teringin mahu menghidangkan sajian yang lebih ringkas. Jika itu yang anda maksudkan, cubalah sediakan Maggi Goreng Mamak yang praktikal tapi sedap ini.
Baru-baru ini, kami menemui perkongsian oleh Nor Farah Atika di Facebook mengenai cara untuk membuat Maggi Goreng Mamak yang sangat menggugah selera. Jom kita ikuti resipinya!
Baca juga: Kari Sotong Mamak Yang Lembut Dan Tak Liat, Seakan Di Kedai Nasi Kandar
RESIPI MAGGI GORENG MAMAK
Bahan-bahan:
- 2 paket maggi
- 1 biji bawang merah
- 3 ulas bawang putih
- 3 tangkai cili api
- 1 sudu besar cili kisar
- 1 sudu besar sos cili
- Sedikit kicap
- 1 sudu besar sos tiram
- 1 paket perencah kari atau tomyam
- Fishball
- Fishcake
- 1 hingga 2 biji telur
Cara-cara memasak:
1. Pertama sekali, rebus maggi (2 paket) dalam air. Jangan rebus terlalu lama, kerana maggi akan melekit. Cukup selama 2 minit, kemudian matikan api.
2. Setelah direbus, ketepikan maggi untuk sementara waktu.
3. Seterusnya, tumis sebiji bawang merah, 3 ulas bawang putih dan 3 tangkai cili api (tambahan jika anda suka pedas), ini adalah sukatan untuk 2 paket.
4. Masukkan 1 sudu besar cili kisar, 1 sudu besar sos cili, 1 sudu besar sos tiram, dan 1 paket perencah kari (hati-hati, jangan guna 2 paket, nanti terlalu masin; boleh juga gunakan perencah tomyam mengikut selera masing-masing).
5. Selepas itu, masukkan sebiji telur (boleh juga jika ingin tambah menjadi 2 biji). Tunggu telur masak seketika dalam seminit sebelum mengacau hingga semua rata.
6. Selepas itu, masukkan bahan protein yang anda gemari (saya memilih fishball dan fishcake) dan maggi yang telah dimasak.
7. Akhir sekali, tambahkan sedikit kicap untuk mempercantik warna dan tidak perlu menambah garam kerana sudah cukup rasa, kemudian kacau hingga semua bahan sebati.
Untuk rasa lebih sedap, anda boleh sajikan Maggi Goreng Mamak ini bersama telur mata kerbau atau telur dadar yang gebu. Hanya dengan satu suapan, pasti selera anda terangkat.
Selamat mencuba!
Sumber: Nor Farah Atika
Baca juga: Ayam Tandoori Homemade, Enak Mempunyai Rasa Seperti Di Kedai Mamak!