Jika anda sering menyediakan hidangan ayam yang biasa, bagaimana jika hari ini anda mencuba Ayam Masak Masam Manis Ala Thai? Rasa pedasnya menyengat, manisnya seimbang dan masamnya cukup menyegarkan.
Ayam Masak Masam Manis Ala Thai adalah sejenis sajian ayam yang diinspirasikan daripada masakan Thai yang terkenal dengan gabungan tiga elemen utama iaitu pedas, masam, dan manis.
Mariana Zainal telah berkongsi Ayam Masak Masam Manis Ala Thai di Facebook setelah mempelajarinya daripada tukang masak restoran. Walaupun resipinya ringkas, tetapi rasanya sama sedap seperti yang disajikan di kedai.
Baca juga: 3 Peta Minda Masakan Ayam, Daging & Ikan, Sesuai Jadi Inspirasi Lauk Harian!
RESIPI AYAM MASAK MASAM MANIS ALA THAI
Bahan A (ayam):
- ½ ekor ayam (digaul sedikit garam dan serbuk kunyit, kemudian digoreng hingga separuh garing)
Bahan B (kisar kasar):
- 1½ biji bawang besar
- 5 ulas bawang putih
- Sedikit halia
- 10 hingga 15 biji cili padi (boleh dikurangkan jika tidak tahan pedas)
- 2 batang serai (dihiris nipis sebelum dikisar)
Bahan C (tumis dan kuah)
- 3 sudu besar sos cili
- 1 sudu besar sos ikan
- 3 hingga 4 helai daun limau purut (disebir kasar, jika ada)
- 1½ sudu besar gula
- Sedikit garam (ikut rasa)
- Sedikit bahan perasa (jika suka)
- 1 cawan air (untuk kuah)
- 2 senduk minyak masak (untuk menumis)
Bahan tambahan:
- 5 hingga 6 biji cili padi (dihiris bulat, pilihan)
- 1 biji bawang besar (dihiris bulat)
- Sedikit daun ketumbar (jika tiada, boleh digantikan dengan daun sup atau abaikan)
Cara-cara memasak:
1. Panaskan minyak dalam kuali. Tumis bahan kisar sehingga naik aroma dan garing.
2. Masukkan gula, sedikit garam dan bahan perasa. Teruskan menumis sehingga bahan benar-benar naik minyak.
3. Tambahkan sos cili, sos ikan dan daun limau purut. Kacau rata.
4. Masukkan ayam yang telah digoreng tadi. Tuangkan 1 cawan air, gaul rata dan biarkan mendidih.
5. Setelah kuah mula pekat, masukkan hirisan bawang besar dan cili padi bulat. Gaul rata dan rasa. Laraskan garam atau gula jika perlu.
6. Tutup api dan taburkan daun ketumbar atau daun sup. Siap untuk dihidangkan!
Selamat mencuba!
Sumber: Mariana Zainal
Baca juga: Lauk Kantin Sekolah Jadi Kegemaran Anak, Wanita Terus Minta Resipi Ayam Masak Soya Daripada Cikgu