Kebiasaannya, kita mendengar tentang makanan laut yang dicelup ke dalam tepung, tetapi kali ini kami ingin memberitahu bahawa ada resepi Roti Goreng Sardin celup tepung yang sangat lazat.
Siapa yang masih ingat semasa zaman sekolah, pasti pernah membeli Roti Goreng Sardin di kantin pada setiap waktu rehat, dan keenakan rasanya masih tersemat di ingatan.
Nur Masri telah berkongsi resepi Roti Goreng Sardin di Facebook yang hasilnya sangat rangup dan pasti anda akan berpuas hati selepas mencubanya. Mari kita buat!
Baca juga: Roti Tuna Gulung Viral Buat Ramai ‘Berhantu’, Makan Sekali Pasti Nak Lagi
RESEPI ROTI GORENG SARDIN
Bahan-bahan inti:
- 1 sudu besar minyak masak
- 1 tin sardin (dibuang sos dan tulang)
- 2 ulas bawang putih (dicincang halus)
- 1 biji bawang besar (dicincang)
- 1 cili merah (dibuang biji dan dicincang, jika inginkan pedas, masukkan cili padi)
- 2 tangkai daun bawang (dipotong)
- 1 sudu besar cili kisar
- 1 biji limau kasturi
Bahan-Bahan untuk roti goreng:
- Roti putih
- 1 cawan tepung gandum
- 1/3 cawan tepung beras
- 1 biji telur
- ½ sudu kecil serbuk kunyit
- 1 cawan air
- 2 sudu besar minyak masak panas
- Garam
Cara-cara penyediaan:
1. Pertama, tumis bawang besar sehingga garing. Setelah bawang menjadi keemasan, masukkan cili kisar dan teruskan memasak hingga garing.
2. Seterusnya, masukkan sardin dan cili merah, lenyekkan sardin hingga sebati.
3. Kemudian, tambahkan sedikit gula dan garam. Masak sehingga sedikit kering, lalu masukkan daun bawang. Tutupkan api.
4. Ambil sedikit inti sardin dan sapu di atas sehelai roti.
5. Letak sehelai roti lagi di atasnya.
6. Setelah itu, potong menjadi empat menggunakan pisau bergerigi dan celup dalam adunan tepung.
7. Akhir sekali, goreng dalam minyak panas sehingga keemasan. Angkat dan toskan. Siap untuk dinikmati!
Jika anda kehabisan idea untuk menyediakan sarapan atau hidangan petang yang menarik di rumah, anda boleh cuba resepi Roti Goreng Sardin yang kerangupannya pasti membuatkan anda teringat hingga keesokan harinya.
Selamat mencuba!
Sumber: Nur Masri
Baca juga: Roti Sardin Goreng Tanpa Telur, Sedapnya Boleh Tahan Sampai Petang!