Setiap kali membeli roti putih, kadang-kadang boleh terbeli lebih dari dua atau tiga buku, tetapi bila sudah memasuki hari keempat, tiada siapa yang menyentuhnya. Sayang untuk dibuang, namun jika yang dibiarkan terlalu lama, akhirnya akan berakhir di dalam tong sampah juga.
Tidak perlu bimbang, kali ini kami ingin berkongsi satu idea yang bukan sahaja dapat ‘menyelamatkan’ roti hampir tamat tempoh, tetapi juga membuat satu rumah menikmati setiap suapan. Resipi ini amat mudah dan pantas untuk disediakan.
Gunakan hanya bahan asas yang sudah ada di dapur seperti telur, sedikit gula, roti putih, dan marjerin. Namun, hasilnya sangat sedap. Permukaannya garing, dalamnya lembut, dengan rasa manis mengalir dari gula yang ditaburkan ketika masih panas. Sangat sesuai dinikmati sebagai kudapan petang, pasti membuatkan anda ketagih!
Jadi, jika anda sering merasa bingung tentang apa yang boleh dilakukan dengan sisa beberapa keping roti, mari cuba menu ini yang ideal untuk sarapan anak-anak sebelum mereka ke sekolah.
Baca juga: Cara Buat Roti Puri Tanpa Guna Yis, Dah Sejuk Pun Tetap Kembang Elok
IDEA RESIPI UNTUK HABISKAN ROTI PUTIH SEBELUM TARIKH LUPUT
Bahan-bahan:
- 2 biji telur
- Secubit garam
- Beberapa keping roti (buang tepi jika ingin)
- Sedikit marjerin untuk menggoreng
- Gula (untuk ditabur setelah digoreng)
Cara penyediaan:
- Pecahkan telur ke dalam mangkuk, tambah secubit garam dan kacau rata.
- Potong bahagian tepi roti jika ingin membuang kerak.
- Panaskan sedikit marjerin di dalam kuali.
- Celupkan sekeping roti ke dalam campuran telur.
- Apabila marjerin sudah cukup panas, letakkan roti tadi di atasnya.
- Balikkan roti hingga kedua-dua belahnya keemasan dan masak dengan baik.
- Angkat dan segara taburkan gula semasa roti masih panas supaya gula mencair sendiri.
- Susun roti secara bertingkat dan potong kepada 4 bahagian.
- Siap untuk dihidangkan!
Sumber: Farah Din
Baca juga: Resipi Roti Sardin Mini Rangup, Tak Serap Minyak Bila Goreng!