Apabila anda mencari inspirasi untuk sarapan atau hidangan ringan yang mudah namun lazat, roti sardin bakar adalah pilihan yang tepat. Kulit roti yang garing dan inti sardin yang pedas serta berperisa, menjadikannya sesuai untuk dinikmati bersama keluarga.
Di samping itu, resepi ini sangat versatil kerana anda juga boleh menggantikan isi sardin dengan jem atau inti lain mengikut kehendak, menjadikannya puff manis atau dengan inti alternatif seperti daging kisar, ayam, atau sayuran.
Taburkan sedikit bijan di atas roti sebelum dibakar dan sajikan roti sardin bakar ini dengan sos cili atau mayonis sebagai pencicah.
Baca lebih lanjut: Resipi Ikan Tenggiri Masak Cuka Berkari Yang Mudah & Padu, Campak-Campak Dah Siap!
RESIPI ROTI SARDIN BAKAR
Bahan-bahan:
- Beberapa keping roti putih (buang tepi untuk penampilan lebih kemas)
- Telur (untuk sapuan)
- 1 tin kecil sardin (lenyekkan isi ikan sehingga hancur)
- 1 biji kentang (diparut)
- ½ atau 1 batang lobak merah (diparut, pilihan)
- 1 biji bawang besar (dipotong dadu halus)
- 2-3 ulas bawang putih (dicincang halus)
- 3-4 sudu besar cili kisar (tambahan jika gemar pedas)
- Garam dan gula secukup rasa
- Sedikit air
Cara Penyediaan:
1. Panaskan sedikit minyak dalam kuali.
2. Tumiskan bawang besar dan bawang putih sehingga naik aroma.
3. Masukkan cili kisar dan kacau hingga pecah minyak.
4. Tambahkan lobak merah dan kentang yang telah diparut.
5. Masukkan sedikit air dan kacau hingga sayuran masak dan air hampir kering.
6. Masukkan isi sardin yang telah dilenyek.
7. Perasakan dengan garam dan gula sesuai keperluan.
8. Masak hingga inti menjadi kering dan serasi.
9. Biarkan inti sejuk sebelum digunakan.
10. Gelek roti putih hingga rata menggunakan penggelek atau botol bersih.
11. Potong sedikit di hujung roti untuk mencipta pola garis-garis seperti puff.
12. Ambil sedikit inti sardin dan letakkan di tengah roti.
13. Lipat roti dan tekan kelilingnya dengan garfu untuk memastikan ia tertutup rapi dan terlihat kemas.
14. Sapu permukaan roti dengan telur yang telah dipukul untuk memberikan warna keemasan selepas dibakar.
15. Panaskan oven pada suhu 180°C.
16. Bakar roti selama kira-kira 20 minit atau sehingga keemasan dan garing.
Sumber: Arm Ika
Baca lebih lanjut: Resipi Ikan Merah Masak Cuka Yang Lazat, Boleh Buat Bertambah Nasi Dua Kali!