Sambal garing ikan bilis benar-benar menjadi kesukaan ramai kerana cita rasanya yang pedas, masin, manis yang seimbang, serta rangup saat dimakan.
Jika membuat dalam kuantiti besar, boleh disimpan sebagai stok untuk dimakan bersama nasi panas, bubur, atau dibawa sebagai bekal. Mari kita lihat bahan-bahan dan langkah-langkah penyediaan di bawah.
Baca juga: Resipi Serbuk Ikan Bilis Homemade, Perasa Sihat Tanpa MSG Ini Wajib Ada Di Dapur!
RESIPI SAMBAL GARING IKAN BILIS
Bahan-bahan:
- Ikan bilis (mengikut jumlah yang ingin disediakan)
- Bawang merah goreng siap (atau goreng sendiri)
- Cili kering (dibasuh dan dibuang biji)
- 1 kiub pati ikan bilis
- Gula mengikut selera
- Garam sesuai rasa
- Cuka makan
Cara penyediaan:
- Panaskan minyak dan goreng ikan bilis hingga buih hilang. Sebelum diangkat, tambahkan dua hingga tiga sudu besar cuka bagi memastikan ikan bilis kekal garing.
- Sediakan cili kering yang telah dicuci dan dibuang bijinya. Goreng dengan sedikit minyak, pastikan tidak hingga hangus. Pastikan benar-benar kering supaya sambal tidak mudah rosak.
- Untuk ketahanan lebih lama, bakar seketika cili kering yang telah digoreng di dalam oven. Jika untuk tujuan jualan, langkah ini sangat disarankan. Sekiranya hanya untuk dimakan sendiri, boleh teruskan tanpa proses pembakaran.
- Setelah cili sejuk, kisar bersama gula, garam, kiub pati ikan bilis, dan sedikit ikan bilis goreng.
- Gaul bahan kisar dengan bawang merah goreng serta baki ikan bilis yang telah digoreng.
- Terakhir, rasa sambal tersebut. Tambah garam jika kurang masin atau gula jika kurang manis. Pastikan rasa seimbang mengikut citarasa masing-masing.
Tip tambahan:
Gunakan minyak secukupnya untuk menggoreng, elakkan agar cili terendam kerana sambal akan menjadi terlalu berminyak. Jika ingin cepat, juga boleh gunakan bawang merah goreng yang sudah siap. Sambal ini jika disimpan dalam bekas kedap udara boleh bertahan sehingga berbulan-bulan.
Sumber: Ain Nawi II
Baca juga: Sambal Kacang Ikan Bilis Kering Rangup & Pedas Manis, Sekali Buat Boleh Tahan Berminggu!