Apabila malas untuk menyediakan hidangan berat, ikan bakar sambal versi mudah ini benar-benar menjadi penyelamat. Meskipun proses memasaknya ringkas dan tidak rumit, hasilnya tetap menggugah selera! Sambalnya pekat, seimbang antara manis, masam, pedas, dan berempah.
Apabila dibalut dengan daun kunyit dan dibakar, aroma yang dihasilkan mampu menarik perhatian jiran sebelah. Boleh bakar di atas kuali atau bara arang, bergantung pada selera dan kemudahan masing-masing.
Bukan sahaja ikan bakar, kami juga berkongsi resipi sambal cicah yang sangat sedap. Dihidang dengan ikan bakar yang panas, pasti pinggan akan licin. Ayuh cuba!
Baca juga: Resipi Ikan Bawal Goreng Garing, Cicah Dengan Sambal Kicap Memang Sedap!
RESEPI IKAN BAKAR SAMBAL
Bahan-bahan ikan (untuk 4–5 ekor ikan):
- 1 biji bawang besar
- 4 ulas bawang putih
- 2 inci halia
- 10 sudu besar sambal sedia kisar (saya menggunakan yang dibeli, tetapi jika kisar sendiri pasti lebih sedap!)
- 4–5 helai daun kunyit
- 1–2 sudu besar serbuk kari ikan (apa-apa jenama pun boleh)
- Sedikit belacan bakar
- Air asam jawa secukupnya
- Gula secukup rasa
- Garam secukup rasa
- Minyak masak (untuk menumis)
Cara Penyediaan Ikan Bakar Sambal:
- Potong dan kisar bawang besar, bawang putih dan halia.
- Tumis bahan kisar dengan sedikit minyak hingga wangi.
- Masukkan sambal sedia kisar, kacau dan masak hingga pecah minyak.
- Tambah serbuk kari ikan (1–2 sudu besar), kacau hingga rata.
- Masukkan air asam jawa, kemudian belacan yang dibancuh dengan air panas.
- Tambah 1 sudu kecil garam dan 3 sudu besar gula (sesuaikan mengikut cita rasa).
- Gaul hingga sebati dan sambal menjadi pekat.
- Lumurkan sambal pada ikan dan balut dengan daun kunyit.
- Bakar di atas magic grill pan atau bara arang untuk rasa lebih asli!
Bahan Sambal Cicah Ikan Bakar:
- Cili melaka (hijau)
- Cili merah
- Belacan bakar
- Air asam jawa
- Limau nipis
- Gula
- Garam
- Bawang merah (hiris nipis)
Cara Penyediaan Sambal Cicah:
- Kisar semua cili, belacan, air asam jawa, gula dan garam hingga halus.
- Campurkan dengan bawang merah yang dihiris nipis.
- Perahkan limau nipis ke dalam sambal, kacau dan sedia untuk dihidang!
Sumber: Fahmi M Salleh
Baca juga: Resipi Ikan Keli Berlada Padu, Ikut Cara Ini Tak Meletup-Letup Bila Goreng!