Jika anda sering menggunakan kiub pati segera, mengapa tidak beralih kepada serbuk ikan bilis buatan sendiri yang lebih sihat? Diperbuat daripada ikan bilis, udang kering, bawang, serta rempah yang disangai kering sebelum dikisar halus, rasanya penuh dengan umami dan aroma yang menyenangkan.
Kelebihan serbuk ikan bilis ini ialah 100% asli, tanpa MSG dan bahan pengawet, menjadikannya selamat untuk semua ahli keluarga termasuk bayi berusia setahun ke atas (tanpa garam). Ia sangat sesuai untuk bubur, sup, nasi goreng dan mi, dan mampu tahan lama jika disimpan dalam keadaan yang betul.
Baca juga: Cara Buat Kuah Carbonara Tanpa Keju, Nak Jimat Boleh Guna Resipi Ini!
CARA BUAT SERBUK IKAN BILIS HOMEMADE
Bahan-bahan:
- 1 cawan ikan bilis (buang bahagian kepala & perut, cuci bersih, toskan)
- ½ cawan udang kering (cuci bersih)
- 1 cawan bawang putih (dihiris nipis)
- ½ cawan bawang merah (dihiris nipis)
- 1 sudu kecil lada hitam (ikut citarasa)
- 1 sudu besar biji ketumbar (pilihan, untuk aroma yang wangi)
- Sedikit garam (pilihan, jika ikan bilis kurang masin)
Cara penyediaan:
- Sangai (goreng tanpa minyak) ikan bilis dan udang kering secara berasingan dalam kuali sehingga rangup dan kering sepenuhnya.
- Sangai bawang putih dan bawang merah hingga bertukar kekuningan dan garing. (Boleh juga dijemur di bawah sinar matahari hingga kering sepenuhnya).
- Sangai lada hitam dan biji ketumbar sehingga mengeluarkan bau yang harum.
- Biarkan semua bahan sejuk sepenuhnya sebelum dikisar.
- Kisar sehingga menjadi serbuk halus. Pastikan bahan benar-benar kering untuk menghindari kulat.
- Simpan dalam balang kedap udara. Untuk memperpanjang jangka hayat, masukkan silica gel food grade.
Kegunaan:
- Sesuaikan ditabur dalam bubur, nasi goreng, sup, mi, dan pelbagai masakan lain.
- Selamat untuk makanan bayi berusia satu tahun ke atas (tanpa garam).
- Boleh digunakan sebagai pengganti kiub pati segera yang komersial.
Dengan kehadiran serbuk buatan sendiri ini, aktiviti memasak menjadi lebih mudah dan sihat. Rasa hidangan tetap mengekalkan kelazatan, namun tanpa tambahan bahan yang merbahaya.
Sumber: Sara Saraswathy Segaran
Baca juga: Rahsia Simpan Buah Lemon Agar Tahan Lama, 3 Bulan Pun Kekal Segar Macam Baru Beli!