Apabila menyentuh tentang udang, pasti timbul bayangan hidangan-hidangan lazat seperti sambal udang petai, udang goreng kunyit atau udang masak lemak. Namun, sebelum itu, penting untuk mengetahui teknik membersihkan udang dengan betul.
Pada kali ini, kami ingin berkongsi cara-cara membersihkan udang yang sesuai untuk semua tahap kemahiran, dari yang baru bermula hingga yang sudah berpengalaman dalam memasak makanan laut. Mari kita lihat cara-caranya!
Baca juga: 10 Jenis Udang Yang Anda Selalu Makan, Rupanya Ada Perbezaan Untuk Masakan Tertentu!
CARA MEMBERSIHKAN UDANG SUPAYA SEGAR DAN MENYINGKIRKAN BAU HANYIR
1. Singkirkan kotoran pada tubuh udang menggunakan lidi sate.
Udang biasanya mempunyai kotoran di bahagian belakang (usus). Untuk membersihkannya dengan selamat dan tanpa merosakkan udang, gunakan lidi sate. Cucuk perlahan dari bahagian atas belakang udang dan tarik keluar kotoran tersebut.
Anda juga boleh menggunakan pisau atau gunting, tetapi perlu berhati-hati, terutama jika udang tersebut tidak begitu segar atau kecil. Salah teknik, udang mungkin akan layu.
2. Jangan buang kepala udang, hanya gunting hujungnya.
Banyak orang memotong kepala udang secara keseluruhan untuk mempercepatkan proses. Sebenarnya, rasa manis udang banyak berasal dari kepalanya. Cukup sekadar gunting hujung tajam kepala dan biarkan bahagian lain tetap utuh.
3. Peras limau untuk menyingkirkan bau hanyir udang.
Setelah mencuci, perahkan limau pada udang untuk menghilangkan bau hanyir. Limau nipis mempunyai aroma yang lebih kuat berbanding limau kasturi, menjadikannya pilihan yang ideal untuk makanan laut.
4. Untuk menghilangkan lendir udang, sapu garam tanpa air.
Kadangkala, lendir dari udang masih tertinggal. Untuk menghilangkannya, lumurkan sedikit garam kasar tanpa menggunakan air pada udang dan biarkan selama beberapa minit sebelum dibilas.
5. Simpan udang dalam bekas berisi air untuk memastikan kesegaran.
Masukkan udang dalam bekas berisi air dan simpan di dalam bahagian beku peti sejuk. Teknik ini membantu mengekalkan tekstur udang agar tidak lembik apabila dicairkan semula nanti.
Semoga berguna!
Sumber: Nana Ismail
Baca juga: Cara Memilih Udang Segar Supaya Tidak Lembik Selepas Dimasak, Wajib Ada 3 Ciri ‘Ini’